Thursday 25 December 2014

KISAH KEGUGURAN & ERPOC

Bermula dengan brown spotting, aku dah rasa berdebar lain macam. 2 hari berlalu, masih belum hilang. Hari ke3, kesan darah pula mula muncul. Pergi klinik untuk pemeriksaan. Hasiĺnya doktor menunjukkan scan rahimku hanya ada kantung yang kosong tanpa  ada janin didalamnya. Baby tak jadi, dah mengecut kata doktor. Luluh hati ini. Selama 13minggu aku membawanya. Menangis la aku di situ sambil dipeluk suami dan anak. Walaupun aku dah prepare mentally untuk terima kemungkinan yang berlaku tapi bukan ini yang aku harapkan. Allah lebih tahu dan perancangan Allah adalah yang terbaik.

Doktor mencadangkan aku membuat proses D&C untuk membuang  sisa2 baby tak jadi dalaam rahimku di hospital. Kami pulang kerumah dengan pasrah hati. Setelah berbincang dengan suami dan ibu mertua, Aku ambil keputusan untuk tunggu lagi beberapa hari sebelum merujuk ke hospital untuk buat D&C.

Keesokan harinya darah semakin banyak keluar. Dari pagi membawa ke petang. Darah beku berketul2 turun. Takut. Risau. Pad dah berkàli-kali aku tukar. Tiada tanda2 darah mahu berhenti. Nak ke hospital, perasaan takut menguasai diri. Tunggu dulu. Tapi lama-kelamaan darah makin banyak turun, perut semakin sakit. Aku nekad membuat keputusan untuk pergi ke hospital. Bimbang diri ini pengsan di rumah akan menyusahkan lagi suami kesayanganku.

Suami membuat keputusan menghantarku ke hospital pusrawi yang jaraknya 15minit perjalanan. Banyak lagi hospital yang dekat, tapi suami dah nekad memilih hospital tersebut. Nak ke hospital kerajaan, tapi aku fobia nak masuk hospital kerajaan. Entahlah. Sepanjang perjalanan hati berdebar2..terasa darah mengalir laju dibawah bagaikan air kencing yang tak dapat ditahan-tahan lagi.

Tiba di hospital pusrawi, aku lihat darah sudah membasahi seluar yang aku pakai. Kerusi kereta pun basah sekali. Mujur kerusi bersarungkan leather. Masuk ke hospital, suami menguruskan pendaftaran. Aku dibawa ke katil kecemasan.

Drip dipasang, air dimasukkan. Katil yang berlapik juga telah basah dengan darah. Seorang doktor datang memeriksa..tanya itu ini, scan dan berikan penjelasan yang sama seperti di klinik. Nurse datang memberikan suntikan untuk stopkan darah sebelum aku ke tandas menukar pad. Mardhiya? Apa yang dia faham. Dia seronok berlari kesana ke mari. Mujur tak ramai pesakit masa tu.

Kemudian aku dibawa ke bilik, perlu admit di wad untuk pantauan. Aku disorong dengan kerusi roda naik ke wad. Beberapa ketika di wad, doktor asmah, pakar o&g datang memeriksa. Hasil scan menunjukkan masih ada sisa di rahim berukuran 5cm. Doktor mengesyorkan aku menjalani prosedur ERPOC yang mana doktor perlu menyedut sisa2 tersebut keluar darj dalam rahimku. Aku diarahkan untuk berpuasa selama 6jam, makanya aku perlu bangun bersahur pada pukul 4 pagi.

Sebelum aku ditinggalkan untuk berehat, nurse memasukkan ubat ke dalam drip. Yang mana ubat tersebut adalah untuk rahimku. Aku pun tak faham masa tu. Malam berlalu, suami dah berdengkur, anak pun dah selamat tidur dalam disebelahku selepas puas menyusu. Malam semakin larut, rahim aku semakin sakit seperti sakit contraction nak bersalin. Makin lama makin kerap. Aku lansung tak dapat melelapkan mata sehinggalah pukul 4 pagi aku bangun bersahur ditemani suami.  Selesai sahur, suami pulang ke rumah sebentar untuk mengambil pakaian dan barang keperluan lain.

Sakit semakin berkurang, dapatlah aku melelapkan mata sebentar. Dalam pukul 530 pagi, nurse datang memeriksa tekanan darah. Suami pun dah kembali. Aku dah rasa tidak selesa kerana darah banyak keluar dan rasa nak terkencing. Aku bangun untuk bersihkan diri dan menukar pad. Tak sempat aku nak duduk di tandas, terasa seketul benda yang besar keluar daripada bawah. Ya Allah, aku melihat seketul benda sebesar tapak tangan pada pad aku. Aku tunjuk pada suami dan suami memanggil nurse. Nurse datang lalu mengambilnya dan disimpan dalam plastik. Pasti itu kantung anak dalam rahimku. Aku rasa lega sangat masa tu. Sakit pun sah hilang sepenuhnya. Dalam hati gembira dan berdoa agar semuanya telah keluar dan tak perlulah aku menjalani prosedur ERPOC tersebut.

Malangnya hasil scan menunjukkan masih ada sisa berukuran 3cm dalam rahimku. Aku dijadualkan masuk ke operation room pada pukul 1. Hati berdebar-debar semasa disorong di atas katil ke operation room. Sampai di waiting area, azan zohor berkumandang. Terdengar staff di situ berkata doktor Asmah menunaikan solat zohor dahulu. Doktor bius pula datang memriksa dan menerangkan prosedur bius. Selepas itu doktor tersebut pun pergi menunaikan solat zohor dahulu sementara menunggu doktor Asmah.

Beberapa minit kemudian, aku disorong ke dalam operation room yang mana sejuknya ya ampunn..walaupun aku baring diatas katil yang suam2 tilamnya tapi aku masih menggigil mungkin bercampur dengan debaran kala itu. Staff didalam sedang menyediakan peralatan. Tangan kanan ku dipasangkan dengan alat untuk tekanan darah.

Tidak lama kemudian, doktor bius tadi datang. Dengan lafaz bismillah, dia memasukkan cecair yang berwarna putih pekat kedalam drip ditanganku. Ya ampun, sakit gile rasanya..sambil mengurut tanganku doktor menekan ubat tersebut masuk. Kali kedua ubat ditekan aku memejamkan mata menahan kesakitan.

'Assalamualaikum puan. Dah selesai dah'. Aku membuka mata perlahan. Seorang staff lelaki mengejutkan aku dari lena. Alatan dibuka dari mulutku. Pahit! Apebenda yang pahit pun aku tak tahu. Bila masa alat tu dipasang pun aku tahu. Apa yang berlaku dalam bilik bedah tadi pun tak tahu. Tahu2 dah siap. Tapi aku merasakan pedih2 sikit dibahagian bawah. Selepas dibiarkan berehat beberapa minit, aku disorong kembali ke bilikku.

Alhamdulillah, masih dapat bertemu buah hati oengarang jantungku yang berdua itu. Aku disuruh berpuasa lagi selama 4jam. Ok, aku sambung tidur sementara suami dan anak pergi ke ofis sebentar. Selama itu, aku tidur tak berani nak bangun, takut termuntah di situ.

Pukul 6 petang, makanan dihantar. Perut dah terlalu lapar. Apalagi, makanlah. Tidak ada pening kepala, dan tidak muntah. Alhamdulillah. Pukul 7 petang aku pun check out setelah semua urusan selesai. Syukur semuanya berjalan lancar.

No comments: